Thursday, March 3, 2011

Kerdau: Masa untuk sedarkan pemimpin Umno


TEMERLOH, 3 Mac: Sesudah sampai di Kerdau, setiap orang akan merasa bahawa Umno dan BN seharusnya berasa malu dan segan. Apa tidaknya, bagaimana mungkin sebuah bandar kecil dengan jumlah 4,000 ahli Umno dibiarkan dalam keadaan yang menyedihkan sebegini selama 53 tahun?

Di sebalik kehadiran penuh para pemimpin tertinggi Barisan Nasional dengan pelbagai 'sumbangan', ramai penduduk di sini sudah akur dengan nasib mereka bahawa Kerdau akan berada dalam keadaan yang sama seperti setengah abad yang lalu selepas setiap pilihanraya umum mahupun kecil.
(Gambar: Chan (kiri) dan Neo Cheong)

"Hari-hari kami makan besar sekarang. Hadiah pun sudah tiga kali sampai rumah," kata Chan Ah Keow, 49, (gambar kiri) seorang suri rumah di pekan Kerdau ini.

Yang terkini adalah kotak Nutrisi pelbagai jenis barang makanan dari nasi hinggalah ke biskut yang dihantar oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Di kotak itu tertulis "1Malaysia Azam Akhiri Zaman Miskin". Ia tertera gambar Datuk Seri Najib dan juga Shahrizat sendiri.

Menurut penduduk tempatan, kira-kira 100 kotak diedarkan di kalangan mereka. Setiap kotak mereka jangka bernilai RM200.

Inilah yang diperolehi oleh masyarakat Cina di sebuah pekan kecil yang selama ini dibiarkan usang. Pekan ini masih tetap usang tetapi penuh kemeriahan sejak akhir-akhir ini.
(Gambar: Kiri kelihatan pelekat BN yang mesti dilekatkan oleh penerima kotak Nutrisi; manakala kanan adalah kota-kota Nutrisi yang dibawa ke Kerdau untuk memancing undi)

“Tiada apa-apa yang akan berubah. Pemimpin di sini sombong, tapi sekarang mereka akan memberikan 'hadiah' dengan syarat kami meletakkan logo Barisan Nasional di depan rumah kita,” kata seorang penoreh getah Cina, Neo Cheong, 53, (gambar atas kanan) kepada krew tinjauan Harakahdaily.

"Kita terima ini sebab ada pilihan raya sahaja. Boleh guna sepanjang tahun ke?" kata Neo Cheong ketika ditemui di pekan ini.

Beliau adalah anak jati kelahiran Kerdau. Neo Chong lahir pada tahun 1958, setahun selepas negara merdeka.

Beliau mewarisi tanah seluas lima ekar yang diterokai oleh ibu bapanya dahulu. Kini nasib beliau agak baik kerana harga getah mahal. Namun oleh kerana sekarang musim daun gugur, susu amat kurang.

"Satu hari kalau potong getah dapat 30 kilo," cerita Neo Cheong. Dengan harga getah RM6 sekilo sekarang, beliau boleh pendapatan sekitar RM180 sehari pada hari-hari boleh bekerja.

Seperti beliau, ramai penduduk di Kerdau bekerja sebagai penoreh getah. Tapi malangnya nasib tidak menyebelahi mereka walaupun kini harga getah melambung tinggi kerana pengeluaran getah terjejas akibat musim hujan dan kini daun getah pula sedang gugur. Akibatnya, susu getah tidak dapat dikeluarkan.

Kehidupan pada umumnya santai, dan di sini tidak nampak sebarang peluang untuk generasi kedua Kerdau dan seterusnya. Generasi muda di sini kebanyakan sudah jauh meninggalkan rumah untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

“Tiada sesiapa (anak) yang ingin bekerja sebagai penoreh getah. Bau busuk,” kata seorang penghuni, Neo Cheong yang mempunyai lima anak.

Dalam pada itu, terdapat banyak rungutan bahawa DUN Kerdau ini tidak diservis dengan baik walaunpun banyak janji yang ditaburkan sejak tahun 1990.
(Gambar: Salah satu jalan masuk ke pekan Kerdau...umpama jalan di pendalaman Sarawak)

Terdapat beberapa kawasan di Kerdau kelihatan seperti kawasan pedalaman Sarawak, tanpa bekalan air yang bersih seperti Kampung Orang Asli Paya Sendayan.

Seperti biasa, Umno dan Barisan Nasional terus mengambil penyelesaian sementara dengan memberikan bekalan air tiga hari sekali, dalam satu usaha untuk mengamankan rungutan orang-orang miskin.

Tindakan membekalkan air tiga hari sekali yang sedang berjalan adalah gambaran sebenar pengabaian nasib rakyat yang kini mahu dipancing undi mereka.

Untuk mengatasi masalah tersebut, Perdana Menteri Najib Razak terpaksa menjanjikan peruntukan RM9.25 juta bagi menaikan taraf loji air Batu Sawar. Buat pengetahuan semua, janji yang sama telah pun dibuat ketika pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000 lalu.

Selain itu, PM juga secara terbuka meluluskan peruntukan RM400,000 untuk Dewan Terbuka Kampong Seri Kerdau, RM150,000 untuk Balai Bomba sukarela dan RM100,000 untuk Kuil Hindu bagi mendapat undi kaum Cina, India dan kaum asal yang membawa jumlah yang ditaburkan hampir RM10 juta dalam lawatan seharinya ke Kerdau.

Namun, pertanyaannya ialah samada kerajaan negeri Pahang yang diterajui Adnan Yaakab mempunyai peruntukan sedemikian untuk projek berkenaan.

Berdasarkan bajet kerajaan negeri Pahang 2011, daripada jumlah peruntukan RM870,117,390, Adnan hanya memberikan 31 peratus atau RM270,693,250 kepada peruntukan pembangunan kerajaan negeri, manakala yang lain diperuntukan untuk perbelanjaan pengurusan.

Dengan 42 kawasan DUN di negeri terbesar Semenanjung itu, secara puratanya setiap kawasan DUN hanya akan menerima peruntukan sebanyak RM6.43 juta pada tahun ini.

Dengan beban hutang sebanyak RM2.17 billion, seseorang itu tergoda untuk tahu dari mana pembiayaan yang banyak itu untuk Kerdau, dan DUN yang mana bakal dikorbankan dana pembangunannya pada tahun 2011 semata-mata demi PRK ini?

Jika kerajaan berhasrat untuk mengatakan bahawa dana untuk projek yang dijanjikan datang daripada perbelanjaan kerajaan persekutuan, apakah justifikasi untuk DUN ini diberikan begitu banyak peruntukan dan bagaimana pula dengan kawasan DUN yang lain yang tidak mempunyai peluang untuk mengadakan PRK?

Jika benar, dana datang daripada kerajaan persekutuan, Adnan perlu menjawab berapakah lonjakan  jumlah hutang negeri Pahang pada kerajaan persekutuan yang kini sudahpun berada di tahap yang parah pada RM2.17 billion?

Masalah negeri Pahang bukanlah baru, bahkan ia jelas barisan Adun BN tidak melaksanakan tugas mereka sepenuhnya untuk menegur Adnan dalam kesilapan percaturan ekonomi. Barisan pembangkang pula lemah kerana hanya diwakili 4 wakil sahaja di DUN Pahang.

Suka mahupun duka, pengundi Kerdau perlu sedar bahawa setelah selesai sahaja PRK ini, segalanya akan menjadi seperti sediakala sepertimana yang berlaku untuk 12 pilihanraya yang lepas.

Namun, faktanya ialah masa PRK kali sungguh istimewa untuk para pengundi Kerdau, kerana pilihanraya umum akan datang menjelang, dijangka kurang daripada masa setahun daripada sekarang.

(Gambar: Pengarah pilihan raya PAS Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim dan Dr Dzulkefli Ahmad melawat projek perumahan yang terbengkalai sejak tahun 1988 lagi. Setiap kali pilihan raya, pembelinya akan dijanjikan untuk disiapkan projek ini oleh pemimpin Umno dan BN)
Kerana itu, BN akan kembali menabur janji sekali lagi dalam waktu yang singkat. Jadi, para pengundi boleh mengambil peluang ini untuk menyedarkan BN dengan mengundi pembangkang sebagai Adun untuk beberapa bulan ini.

Berapa banyak kerugian yang DUN Kerdau boleh hilang dalam masa setahun?

Perlu diingatkan, jumlah peruntukan RM6.45 juta untuk satu-satu DUN di Pahang hanyalah purata. Jika diikutkan dengan nisbah keluasan tanah di DUN-DUN Pahang yang berkeluasan 3.6 juta hektar, Kerdau (13,214 hektar) hanya layak untuk menerima RM993,632 atau 0.36 peratus daripada peruntukan pembangunan sebanyak RM270 yang dinyatakan dalam bajet tahun ini.

Ini bermakna apa yang ditaburkan Najib dalam satu hari adalah sama dengan apa yang bakal diterima rakyat Kerdau dalam masa sepuluh tahun daripada kerajaan negeri, sekiranya tiada pilihanraya kecil.

Samada pengundi Kerdau menggunakan peluang ini untuk menyedarkan BN, atau mereka boleh mengharapkan sesuatu terjadi pada Adun mereka.

“Yang tidak bekerja, dapat undi. Dapat undi, lagilah tak bekerja.”

Sedarkan BN untuk kesejahteraan khususnya untuk rakyat Kerdau, dan rakyat negeri Pahang keseluruhannya. Ia boleh dilakukan dengan merajuk sekali dan berikan undi anda kepada PAS kali ini. Jika ada masalah, kita kembali semula kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang.
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...