Wednesday, March 2, 2011

Tilam, bantal laris sempena p'raya kecil Kerdau


"Tilam...tilam, bantal...bantal". Begitulah teriakan dua anak muda tanpa jemu berdiri di bawah terik matahari kepada orang ramai yang lalu lalang di jalan Kerdau-Jerantut di Temerloh.

Usia muda mereka juga digunakan sebaik mungkin dengan gigih berniaga mengambil kesempatan menambah pendapatan sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Pilihan raya kecil (PRK) itu bukan sahaja memberikan durian runtuh kepada pemilik-pemilik rumah sewa di sekitar DUN Kerdau, bahkan tempiasnya turut dirasai golongan peniaga sama ada makanan, pakaian mahupun kelengkapan tidur.Peniaga tilam dan bantal itu, Mohd Faiz Idris, 18, dan Mohamad Sidiq Mazlan, 19, berkata perniagaan yang dikongsi bersama beberapa orang rakan laris sejak dibuka pada hari penamaan calon, 26 Feb lepas.

"Alhamdulillah abang. Rezeki di sini (Kerdau) mencurah-curah berbanding di tapak-tapak ekspo yang pernah saya sertai. Hasil jualan juga meningkat," katanya ketika ditemui Bernama.

Mengakui pendapatan hasil jualan tilam dan bantal berlipat ganda pada musim pilihan raya, Mohd Faiz berkata hasil jualannya kini boleh mencecah RM900 sehari berbanding RM250 sehari ketika berniaga di tapak ekspo.

Beliau berkata faktor jualan tilam dan bantal meningkat adalah disebabkan kebanyakan rumah yang disewa oleh petugas-petugas parti, kosong dan tidak mempunyai kelengkapan tidur.

"Sebab lokasi perniagaan saya yang terletak di tengah-tengah laluan Kerdau-Jerantut, maka senang untuk orang nampak dan membelinya tanpa perlu ke bandar Temerloh atau bandar Jerantut," katanya sambil menambah perniagaannya beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 12 malam.

Menurut Mohd Faiz, harga bagi tilam bujang adalah sekitar RM60 bagi jenis span dan RM80 bagi jenis kekabu manakala bagi tilam saiz queen jenis kekabu, ia berharga RM160.

Bantal pula dijual kira-kira RM35 bagi jenis kekabu dan RM15 hingga RM25 bagi jenis span.

Sementara itu, Muhamad Sidiq berkata perniagaannya akan menjadi sibuk di sebelah petang dan malam apabila orang ramai sama ada dari luar atau pun tempatan berpusu-pusu mengerumuni khemahnya.

"Ada pernah ketika, kami dah tutup pun perniagaan, ada juga orang yang memanggil kami untuk membeli tilam dan bantal. Terpaksalah kami buka semula perniagaan kami dan pernah sampai pukul 3 pagi, masih ada orang yang datang cari tilam dan bantal," katanya sambil menambah bekalan bantal dan tilam diperoleh dari sebuah kilang di Ipoh, Perak.

Seorang petugas Barisan Nasional (BN) Rugayah Ismail, 47, ketika ditemui Bernama di khemah menjual tilam dan bantal itu berkata bagi beroleh sedikit keselesaan ketika melepaskan penat lelah, beliau sanggup mengeluarkan sedikit duit untuk membeli tilam kekabu.

"Apa salahnya kalau kita keluar sedikit duit beli tilam. Yang nak tidur selesa ini kita. Lagi pun rumah-rumah sewa di sini kebanyakkannya kosong...tak ada apa-apa.

"Takkan kita nak tidur berlapik lantai sahaja. Sakit badan nanti. Tilam ini kalau dah habis pilihan raya (kecil) pun, kita boleh bawa balik dan guna di rumah pula. Tak rugi pun beli," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau pada Ahad ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas dan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44 dan calon PAS, Hassanuddin Salim, 43.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zaharuddin daripada BN menewaskan calon PAS Hassanuddin dengan undi majoriti 1,615.


Sumber :Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...