Thursday, February 17, 2011

Sokong Jengka jadi daerah ke-12 di Pahang

KUALA KRAU 14 Feb. - Kerajaan negeri diminta mengisytiharkan Bandar Jengka sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka kerana ia selari dengan usaha mengangkat kawasan itu sebagai entiti daerah baru ke-12 di negeri ini.
Kalangan pemimpin dan penduduk di bandar itu yang ditemui Utusan Malaysia berpendapat, ia perlu diwartakan segera bagi mengelakkan kekeliruan rakyat khususnya pengunjung luar.
Mereka berpendapat langkah tersebut sesuai berikutan wujudnya cadangan mewujudkan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Jengka yang selari dengan kewujudan Parlimen Kuala Krau sejak lapan tahun lalu.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, Mohd. Razali Mamat, berkata, kawasan Parlimen Kuala Krau mempunyai kelayakan dan kemudahan mencukupi untuk diangkat sebagai sebuah daerah di Pahang.
Katanya, ia dilengkapi dengan prasarana tersusun dan memiliki pekan yang menjadi tumpuan penduduk untuk berbelanja dan berurusan seperti Bandar Jengka dan pekan Kuala Krau.
''Ketiadaan status sebagai sebuah daerah menjadi dilema kepada wakil rakyat dalam Parlimen Krau kerana kedudukannya berada dalam dua daerah iaitu Daerah Maran dan Temerloh.
''Daerah Maran ada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah sedangkan Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamad Said tiada daerahnya sendiri.
''Parlimen Kuala Krau mempunyai seorang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Jengka, Jenderak dan Kerdau yang terletak dalam daerah Maran dan Temerloh, '' katanya di sini hari ini.
Seorang generasi kedua Felda, Hamedan Abu Samah, 42, menyokong cadangan itu dengan menyifatkan pengisytiharan Daerah Jengka dalam Parlimen Kuala Krau amat relevan kerana kawasan tersebut mempunyai kelebihan dan kelayakan mempunyai daerah sendiri.
Katanya, dengan cara mewartakan Bandar Tun Razak selari daerah baru itu nanti perlu mengambil kira pandangan orang ramai untuk menamakannya daerah Jengka kerana pekan mempunyai kelebihan.
Menurutnya, Bandar Jengka merupakan sebuah bandar Melayu akan lebih berkembang pesat serta menyaingi bandar berhampiran kerana orang ramai mempunyai sebab untuk berkunjung ke sana di atas pelbagai tujuan.
Bagi Ketua UMNO Cawangan Jengka 14B, Awang Mat Chu, berkata, Parlimen Kuala Krau perlu diberi suntikan baru kerana memiliki 'kekuatan' tersendiri daripada segi keupayaan memakmurkan negeri ini.
Katanya, ketika negara sedang berusaha meningkatkan pendapatan rakyat menjelang 2020, usaha menyediakan kemudahan infrastruktur, ekonomi dan sosial perlu dilaksanakan secara terancang dan efisien.
Seorang aktivis belia, Yusof Hussien, 44, dari Bandar Jengka berpendapat kewujudan daerah baru itu akan melancarkan proses pembangunan di kawasan tersebut tanpa bergantung kepada daerah Maran dan Temerloh.
''Sebagai kawasan Parlimen baru memerlukan suntikan dana lebih besar bagi membangunkan kawasan perkampungan tradisional yang terpencil sebelum ini supaya berkembang maju selari dengan kemajuan arus perdana," katanya.
Seorang usahawan, Ahmad Sabrey Idris, 54, berkata, banyak kelebihan jika Kuala Krau memperolehi status sebuah daerah antaranya dapat menyelaraskan pentadbiran sekolah, tanah, dan sebagainya.
Tegasnya, kewujudan daerah baru sangat diperlukan sekarang berikutan kemajuan bandar dan kampung yang semakin menyerlah di samping pertambahan penduduk di Parlimen Kuala Krau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...