Friday, February 18, 2011

Golongan veteran dirai


SUNGAI JERIK - Golongan veteran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul tidak dilupakan Kerajaan Negeri apabila menerima sumbangan sempena Tahun Baru Cina berjumlah RM10,200.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, sumbangan kepada 68 warga emas Tionghua berusia 70 tahun ke atas itu membuktikan Kerajaan Negeri prihatin selain menghargai peranan golongan veteran dalam menabur bakti kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, ia diharap menceriakan sambutan Tahun Baru Cina dan dimanfaatkan untuk membeli barang keperluan harian mereka.

“Kerajaan tidak akan bersikap pilih bulu dalam usaha membangunkan rakyat di negeri ini kerana apa yang penting adalah memastikan semua kelompok masyarakat hidup dalam keadaan lebih selesa dan sejahtera.

“Semua kelompok masyarakat adalah penting maka konsep gagasan 1Malaysia amat bertepatan dalam membentuk komuniti negara yang aman,” katanya pada Jamuan Makan Malam dan Penyampaian Sumbangan Warga Tua bagi DUN Kuala Sentul, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Shahaniza berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu meringankan masalah rakyat namun pemimpin dan masyarakat perlu saling membantu bagi mengelak sebarang jurang.

“Semangat ini tidak boleh dibiarkan terhakis kerana generasi muda di masa hadapan juga ingin merasai kemajuan negara,” katanya. 
 
Sumber : SINAR

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...