Thursday, February 17, 2011

Serahkan kepada Perdana Menteri soal calon

KEMARIN, Perdana Menteri menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia Sabtu lalu akibat serangan jantung.
Sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008, sejumlah 16 pilihan raya kecil diadakan dengan 13 daripadanya kerana kematian wakil rakyat. Ini termasuk yang bakal menyusul di Merlimau pada 6 Mac nanti dan Kerdau yang masih dalam pertimbangan tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bilangan 16 itu menyamai jumlah 16 pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-7 dan tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-8 pada November 1990. Juga, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas Pilihan Raya Umum 1990 hingga menjelang Pilihan Raya Umum April 1995.
Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau nanti cuma kurang satu daripada 17 pilihan raya kecil - jumlah tertinggi sejak awal 1980-an - yang diadakan sepanjang tempoh selepas Pilihan Raya Umum 1995 dan sebelum Pilihan Raya Umum 1999.
Dalam aspek ini, tentunya isu calon menjadi perhatian terutama buat Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut. Ini berikutan untuk persediaan parti itu berhadapan Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, sejumlah tujuh nama bakal dikemukakan oleh BN Melaka untuk dimuktamadkan sebagai calon kerusi itu.
Dan semalam pula, UMNO Bahagian Kuala Krau akan menyenaraikan antara lima hingga tujuh nama untuk dipilih pucuk pimpinan dalam menggalas cabaran parti di Kerdau.
Dikatakan, perbuatan lobi-melobi sebagai calon oleh beberapa pihak diambil perhatian serius oleh Perdana Menteri. Terlalu ramai ingin menjadi Yang Berhormat, apatah lagi dengan banyak kematian melibatkan wakil rakyat BN yang membuka ruang kepada 16 pilihan raya kecil setakat ini cukup merunsingkan. Dan ia sebenarnya memerlukan semua kepimpinan dalam parti-parti komponen BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membuat penilaian dan post mortem ke atas calon yang bakal dipilih.
Dengan pentadbiran Najib yang menegaskan soal jawatan dalam parti tidak semestinya memberi jaminan bagi mereka untuk menjadi calon dalam pilihan raya, maka semua pihak perlu akur dengan prinsip tersebut. Ini kerana dalam menghadapi cabaran politik masa kini, apa yang penting keupayaan orang yang dipilih menjadi calon itu untuk menang dalam pilihan raya.
Apatah lagi tempoh hari semasa berucap pada konvensyen khas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Pengerusi BN itu menegaskan:
"Apa gunanya pilih calon yang dikehendaki parti, jika calon itu tidak disukai pengundi. Saya tidak peduli orang itu tua atau muda. Jangan beri saya nama kerana pertimbangan parti. Saya tidak mahu orang itu dicalonkan kerana dia orang penting dalam parti.
"Ini prinsip penting kerana kita mahu calon boleh menang supaya kita dapat membentuk kerajaan. Calon mestilah terdiri daripada mereka yang diterima pengundi di mana dia bertanding."
Dengan kedudukan calon di Merlimau dan Kerdau belum diputuskan oleh BN, sementara pula diuar-uarkan oleh portal propembangkang kononnya Ketua Menteri Sarawak akan menghadap Gabenor Jumaat ini untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri sekali gus membuka ruang pilihan raya negeri, maka isu siapa calon yang bakal membawa cabaran akan dipikul oleh pucuk pimpinan BN.
Zaman memilih calon secara tangkap muat sudah tidak boleh dipakai lagi. Sama seperti meletakkan calon payung terjun. Calon mesti dikenali oleh masyarakat setempat.
Transformasi politik yang sedang digerakkan Perdana Menteri sekarang adalah yang terbaik dilaksanakan. Pucuk pimpinan mesti berani melakukannya.
Kalau calon kurang dikenali malah tidak mesra rakyat, akhirnya yang menanggung beban adalah rakyat dan parti.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...