Friday, February 18, 2011

Yakin BN akan tumpu di Felda



TEMERLOH – Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan beberapa isu yang dihadapi pengundi di empat tanah rancangan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Pahang, Roslan Zainal berkat:a, jangkaan itu berdasarkan lebih separuh pengundi DUN Kerdau bermastautin di situ.

Menurutnya, BN akan cuba meraih undi daripada peneroka di Felda Jengka 22, 23 dan 25 serta Felcra Rumpun Makmur pada PRK kali ini dalam usaha mendapat kemenangan.

“Namun Pas ada jentera yang lebih baik untuk bergerak dengan mengaitkan beberapa isu berkaitan bagi menarik sokongan peneroka di kawasan terbabit.

“Kami tahu kawasan itu kubu kuat BN namun ia semakin baik sejak akhir-akhir ini daripada tiada cawangan pembangkang sehingga telah muncul beberapa cawangan di kawasan terbabit,” katanya sewaktu ditemui di pejabat Perhubungan Pas Pahang, di sini, semalam.

Roslan berkata, penerimaan masyarakat di DUN Kerdau terhadap Pakatan Rakyat (PR) sekarang semakin baik berbanding semasa Pilihan Raya Kecil DUN Sanggang pada 2000.

Beliau berkata, Pas mengharapkan pengundi di Kerdau mengundi calon PR pada PRK Kerdau pada kali ini bagi mengimbangi dan menambah wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pahang supaya setiap pembangunan dan perancangan yang dicadangkan di Pahang mendapat pertimbangan yang lebih baik.

“Kita mahu suara rakyat didengari dan sebab itu kami mahukan pengundi memilih calon PR pada PRK Kerdau,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pihaknya kini bersedia menggerakkan jentera pilihan raya peringkat cawangan, bahagian dan DUN.

Sumber : SINAR

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...