Thursday, February 17, 2011

PRK Kerdau, Merlimau serentak?

WAJARKAH Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, diadakan serentak dengan PRK DUN Merlimau di Melaka yang telah ditetapkan pada 6 Mac dan hari penamaan calonnya 26 Februari ini?
DUN Kerdau ialah siri PRK ke-16 manakala PRK DUN Merlimau ke-15 selepas PRK Tenang, Johor pada 30 Januari lalu.
Keputusan penetapan tarikh ini terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukannya selepas menerima notis kematian Allahyarham Zaharuddin secara rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussen.
Kemungkinan diadakan PRK serentak ini tidak mustahil memandangkan situasi atau senario politik semasa dan beberapa fakta turut menyokong ke arah itu. Fakta yang dianggap paling besar dan agak kontroversi jika ia dilewatkan ialah ura-ura Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan tamat tempohnya sebelum Julai depan disebut-sebut bakal diadakan pada April ini?

Lebih-lebih lagi keputusan yang serupa pernah diputuskan SPR bagi PRK DUN Galas, Gua Musang yang diadakan serentak dengan PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah pada penghujung tahun lalu. Kedua-dua PRK itu dimenangi majoriti besar oleh Barisan Nasional.
Sebelum itu, tiga PRK serentak pernah diadakan pasca PRU 2008 bagi DUN Bukit Selambau,Kedah; DUN Batang Ai, Sarawak dan Parlimen Bukit Gantang, Perak.
Senarai nama bakal-bakal calon BN bagi DUN Kerdau ramai tetapi ia perlu diperhalusi dan disaring oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO/ BN Negeri sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk diputuskan sebagai "Calon Boleh Menang" yang menjadi tagline barisan sama ada bagi PRK atau PRU13 akan datang?.
Siapa jua bakal calon BN Kerdau, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab besar bagi mengekalkan momentum, membukti dan memastikan kemenangan parti pemerintah itu dalam PRK kali ini.
Begitu juga dengan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai Pengarah PRK itu mengikut trend kebelakangan ini.
Pelantikan Ketua Bahagian atau Pengerusi Perhubungan Negeri diserahkan tanggungjawab mengarahkan jentera pilihan raya yang lebih dekat dan memahami keadaan politik setempat bermula dengan perlantikan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi PRK Galas tahun lalu berjaya merampas semula kerusi berkenaan daripada PAS yang memerintah Negeri Kelantan.
Trend ini diteruskan dengan perlantikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman di DUN Tenang, juga membawa kejayaan besar dengan mengurangkan undi parti lawan dan begitu juga diharapkan atas perlantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO/BN Negeri itu sebagai Pengarah PRK Merlimau pada 6 Mac ini jika ada pertandingan?.
Sebelum ini, BN menyerahkan tanggungjawab besar dan tugas Pengarah Pilihan raya baik PRK atau PRU kepada Timbalan Perdana Menteri atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang patut dikekalkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Perubahan strategi menyalurkan tugas kepada tokoh pimpinan negeri dan bahagian amat wajar kerana mereka dianggap mempunyai "sentuhan keramat" dalam menangani isu yang lebih dekat dengan mereka dibandingkan dengan pemimpin pusat.
Sumber Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...